INFO ISLAMIK : Qada’ Puasa & Bayar Fidyah: 5 Golongan Yang Wajib Anda Tahu Bayar fidyah merupakan satu kewajipan yang perlu difahami o...
INFO ISLAMIK : Qada’ Puasa & Bayar Fidyah: 5 Golongan Yang Wajib Anda Tahu

Bayar fidyah merupakan satu kewajipan yang perlu difahami oleh setiap umat Islam, termasuk kaedah pelaksanaannya serta golongan yang diwajibkan menunaikannya.
Sebagai umat Islam, adalah penting untuk kita memahami kaedah pembayaran fidyah serta mengetahui siapakah golongan yang diwajibkan menunaikannya.
Fidyah merujuk kepada bayaran denda yang dikenakan ke atas umat Islam yang telah baligh akibat pelanggaran hukum dalam ibadah tertentu seperti puasa, haji dan ibadah lain yang berkaitan.
Dalam konteks ibadah puasa, fidyah dikenakan kepada individu yang meninggalkan puasa wajib, sama ada kerana melengahkan puasa ganti (qada’) atau disebabkan oleh sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
Apa itu Fidyah
Fidyah ialah istilah dalam Bahasa Arab yang berasal daripada kata akar fada (فدى) yang membawa maksud menebus. Dari sudut disiplin fiqh, fidyah merujuk kepada bayaran yang dikenakan bagi menebus kekurangan atau ketidakmampuan seseorang dalam melaksanakan sesuatu ibadah yang diwajibkan ke atasnya.
Dalam perbahasan fiqh, fidyah juga sering disebut dengan istilah lain seperti kaffarah dan dam, malah dalam beberapa keadaan, istilah fidyah digunakan secara bersamaan dengan kaffarah. Namun begitu, sebahagian fuqaha membezakan antara fidyah dan kaffarah dari sudut sebab kewajibannya.
Secara umumnya, fidyah ialah sesuatu yang dibayar bagi menebus diri, sama ada dalam bentuk harta atau melalui perbuatan tertentu, akibat kekurangan atau kecuaian dalam pelaksanaan sesuatu amal ibadah.
Perbezaannya, kaffarah lazimnya diwajibkan kerana dosa yang dilakukan, manakala fidyah pula merupakan bayaran denda bagi ibadah yang tertinggal atau dilaksanakan secara tidak sempurna.
Dalam konteks ibadah puasa, fidyah dikenakan ke atas individu yang tidak mampu berpuasa atau meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak, sebagai bentuk penebusan terhadap kewajipan tersebut.

DALIL PENSYARIATAN FIDYAH
i) Al-Quran
Firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)
ii) Al-Hadis
Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من مات وعليه صيامُ شهرٍ فليُطعمْ عنه مكانَ كلِّ يومٍ مسكينًا
Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hukum Membayar Fidyah
Pembayaran fidyah hukumnya wajib. Ia perlu disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Sekiranya tidak dilaksanakan, ia akan menjadi satu tanggungan atau hutang kepada Allah SWT.
Golongan yang Dikenakan Fidyah

Terdapat 5 golongan yang dikenakan fidyah akibat meninggalkan puasa iaitu :
1.Uzur Syar’ie & Sakit Yang Boleh Sembuh
Golongan ini meninggalkan puasa Ramadhan akibat uzur syar’ie (musafir, haid, nifas atau wiladah) serta sakit yang ada harapan sembuh.
Golongan ini diwajibkan untuk qadha puasa’ sebelum tibanya bulan Ramadhan akan datang.
Jika mereka gagal menggantikan puasa, maka mereka perlulah qadha’ puasa serta bayar fidyah mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.
2. Orang Sakit dan Tiada Harapan Sembuh
Golongan ini tidak dapat berpuasa kerana menghidap sakit yang tiada harapan sembuh serta disahkan oleh doktor tidak boleh berpuasa.
Golongan ini tidak wajib qadha’ puasa tetapi mereka tetap perlu bayar fidyah bagi tahun tersebut.
3. Ibu Hamil Atau Menyusu Yang Bimbang Akan Kesihatan Dirinya
Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan dengan sebab :
Bimbang akan kesihatan dirinya sahaja, atau ;
Bimbang akan kesihatan diri serta kandungan atau anaknya.
Para ibu ini tidak wajib bayar fidyah, namun mereka wajib qadha’ puasa.
4. Ibu Hamil Yang Bimbangkan Kesihatan Anak atau Kandungan
Ibu hamil atau yang masih menyusukan anak tidak berpuasa di bulan Ramadhan atas sebab bimbangkan kesihatan anak atau kandungan diwajibkan untuk qadha’ puasa dan bayar fidyah.
5. Orang Yang Meninggal Dunia
Bagi orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya, maka waris perlulah laksanakan tanggungjawab untuk bayar fidyah si mati.
Semak ringkasan dalam rajah ini untuk lebih faham tentang golongan yang dikenakan fidyah:
| Golongan | Denda Dikenakan |
|---|---|
| Individu yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana uzur syarie seperti musafir, haid, nifas atau selepas melahirkan anak, serta penyakit yang masih mempunyai harapan untuk sembuh. | 1. Wajib Qada’ puasa. * Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah. |
| Individu yang menghidap penyakit kronik atau penyakit yang tiada harapan untuk sembuh, sebagaimana disahkan oleh doktor, tidak diwajibkan berpuasa. | 1. Tidak wajib Qada’ puasa. 2. Wajib bayar Fidyah pada tahun tersebut. |
| Ibu yang sedang hamil atau masih menyusukan anak dan tidak berpuasa pada bulan Ramadan disebabkan oleh: 1. Kebimbangan terhadap kesihatan dirinya sahaja, atau 2. Bimbang akan keselamatan dirinya serta janin atau anak yang disusukannya. | 1. Wajib Qada’ puasa. 2. Tidak wajib bayar Fidyah. * Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah. |
| Ibu yang sedang hamil atau masih menyusukan anak dan tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana 1. Bimbang terhadap keselamatan janin atau anak yang disusukannya sahaja. | 1. Wajib Qada’ puasa. 2. Wajib bayar Fidyah. |
| Individu yang meninggal dunia sebelum sempat menggantikan puasa yang ditinggalkannya. | 1. Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan |



Waktu / Tempoh Pembayaran Fidyah
Para ulama sepakat bahawa kewajipan membayar fidyah bermula sebaik sahaja sesuatu ibadah tidak dapat dilaksanakan.
Tempoh pembayarannya pula tidak ditetapkan pada masa tertentu. Namun begitu, umat Islam digalakkan agar menyegerakan bayaran fidyah kerana dibimbangi ia tidak dapat ditunaikan sekiranya terus ditangguhkan.
Individu yang melambatkan qada puasa sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya akan dikenakan kewajipan membayar fidyah di samping tetap perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Kadar bayaran fidyah akan bertambah mengikut bilangan tahun yang ditinggalkan, manakala jumlah hari qada puasa kekal seperti asal.
Cara Pengiraan Fidyah
Untuk kira bayaran fidyah anda perlulah gandakan nilainya dengan jumlah hari yang anda tinggal puasa. Formula pengiraannya seperti berikut:
(Hari yang ditinggalkan) ⨯ (Tahun semasa – Tahun puasa yang ditinggalkan) ⨯ (1 Cupak) = FIDYAH
Contoh Pengiraan
Sebagai contoh, misalnya Lembaga Zakat Selangor meletakkan nilai secupak beras adalah RM 1.80 untuk kiraan fidyah di Selangor.
Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun.
Jadi, sekiranya anda tinggal puasa selama 3 hari, maka kadar bayaran fidyah adalah :
RM 1.80 (1 cupak ) X 3 hari = RM 5.40
Jika anda melangkau tahun contohnya anda tidak berpuasa selama 3 hari pada tahun 2017 dan ingin gantikan puasa serta bayar fidyah pada tahun 2021, maka kadar fidyah adalah seperti berikut :
RM 1.80 (1 cupak) X 4 tahun X 3 hari = RM 21.60
Nota : Nilai secupak beras mungkin berbeza mengikut negeri. Sila rujuk pada pusat zakat negeri masing-masing.

Cara Bayar Fidyah
Fidyah boleh dibayar melalui tiga cara iaitu :
1. Secara Tunai – Bayaran boleh dilakukan terus di pejabat agama atau pejabat zakat negeri masing-masing atau melalui wang pos.
2. Secara Online – Melalui e-zakat negeri masing-masing seperti e-zakat Selangor, e-zakat Penang, laman web Pejabat Agama dan Majlis Negeri
- Zakat Selangor
- Zakat Penang
- Zakat Johor
- Zakat Negeri Sembilan
- Zakat Melaka
- Zakat Kelantan
- Zakat Terengganu
- Zakat Sabah
- Zakat Pahang
- Zakat Perlis
- Zakat Kedah
- Zakat Pulau Pinang
3. Melalui MayBank2U – Kaedah ini boleh digunakan untuk pusat zakat atau majlis agama negeri yang aktifkan pembayaran fidyah melalui Maybank2U.
Caranya adalah seperti berikut :
- Log masuk ke akaun Maybank2U seperti biasa
- Klik ‘Bill Payment’ dan klik pada ‘Make A One-Off Payment’
- Klik ‘Zakat & Charity’
- Pilih Pusat Pungutan Zakat / Fidyah negeri masing-masing
- Pilih ‘Fidyah’
- Masukkan jumlah bayaran yang perlu dibayar mengikut kiraan.
Mudah bukan untuk laksanakan fidyah? Bagi yang belum bayar fidyah puasa, segerakanlah kerana nilainya akan meningkat jika Ramadhan tahun datang menjelma.
Video : Penerangan Qada’ Puasa @ Fidyah
Sila rujuk video oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor di bawah untuk mengetahui lebih lanjut tentang penerangan berkenaan sama ada seseorang perlu bayar fidyah atau qada’ puasa.
Maklumat Lanjut
Maklumat Lanjut
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang bayaran fidyah, anda boleh rujuk Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing melalui portal rasmi mereka berikut:
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JAIK)
- Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
- Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)
- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)
- Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)
- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
- Jabatan Agama Johor (JAJ)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIP)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP)
- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)
Soalan Lazim – Bayar Fidyah
Fidyah merupakan bayaran yang wajib dikeluarkan oleh individu yang meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab tertentu yang diharuskan syarak, seperti usia yang terlalu lanjut sehingga tidak lagi mampu berpuasa atau penyakit kronik yang tiada harapan sembuh. Selain itu, individu yang meninggalkan kewajipan tersebut akibat kelalaian diri sendiri juga tetap diwajibkan melunaskan fidyah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka sebagai qada) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (al-Baqarah: 184).
Di sini disenaraikan keadaan yang mewajibkan fidyah kepada seseorang:
▶️ Wanita yang mengalami haid atau nifas selepas melahirkan anak tidak dibenarkan berpuasa dan hukumnya adalah haram. Mereka diwajibkan menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan sebelum masuk Ramadan berikutnya. Sekiranya puasa tersebut tidak diqada hingga tiba Ramadan seterusnya, maka mereka wajib membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
▶️ Wanita hamil atau ibu yang menyusukan anak kecil yang tidak berpuasa Ramadan kerana bimbang akan keselamatan janin atau kesihatan anaknya, wajib menggantikan puasa dan membayar fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan sebelum Ramadan seterusnya. Namun, jika tidak berpuasa kerana bimbang terhadap keselamatan diri sendiri, maka hanya diwajibkan qada puasa tanpa fidyah, kecuali jika berlaku kecuaian dengan melewatkan qada hingga masuk Ramadan berikutnya; dalam keadaan ini, wajib qada dan membayar fidyah.
▶️ Individu yang bermusafir atau sedang sakit, atau mereka yang berbuka atas sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh syarak, wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan. Jika mereka melalaikan qada sehingga masuk Ramadan berikutnya seperti dalam kes pertama, maka mereka wajib qada serta membayar fidyah.
▶️ Warga emas yang terlalu uzur dan tidak berupaya berpuasa, serta berpuasa boleh memudaratkan diri, diberikan keizinan oleh syarak untuk tidak berpuasa. Sebagai gantinya, mereka wajib mengeluarkan fidyah bagi setiap hari atau keseluruhan hari puasa Ramadan yang ditinggalkan.
▶️ Individu yang menghidap penyakit kronik atau serius sehingga tidak berkemampuan untuk berpuasa sepanjang hayatnya, seperti berada dalam keadaan koma, maka fidyah wajib dikeluarkan bagi pihaknya oleh waris.
Terdapat dua pandangan dalam kalangan ulama berhubung cara mengeluarkan fidyah, iaitu sama ada melalui makanan asasi atau dalam bentuk wang. Namun, dalam amalan semasa, pemberian wang dilihat lebih praktikal, lebih-lebih lagi apabila zakat fitrah sendiri kini kebanyakannya ditunaikan dalam bentuk wang.
Pada asasnya, fidyah dibayar dalam bentuk makanan asasi. Di Malaysia, makanan asasi tersebut ialah beras. Kadar fidyah ditetapkan sebanyak satu perempat daripada harga beras fitrah.
Sebagai contoh, di Selangor, harga beras fitrah ialah RM7, maka kadar fidyah yang perlu dibayar ialah RM1.75, bersamaan dengan satu cupak beras. Walau bagaimanapun, kadar dan jenis makanan fidyah boleh berbeza mengikut negeri atau negara masing-masing.
Menurut qaul muktamad dalam Mazhab Syafie, individu yang melalaikan puasa gantinya sehingga berlalu beberapa Ramadan berturut-turut diwajibkan menggantikan puasa tersebut serta membayar fidyah yang berganda.
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor Bil. 1/2001 yang bersidang pada 16 Januari 2001, diputuskan bahawa bayaran fidyah boleh dilaksanakan melalui dua kaedah, iaitu:
i. Bayaran fidyah dan kafarah secara berganda mengikut bilangan tahun tertunggak
ii. Bayaran fidyah dan kafarah tanpa penggandaan kadar
Keputusan ini memberi ruang kepada umat Islam untuk memilih kaedah pembayaran yang sesuai dengan kemampuan masing-masing, sama ada secara berganda atau tidak berganda.
Berhubung nilai fidyah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggalakkan individu yang berkemampuan agar membayar fidyah berdasarkan jenis beras yang menjadi makanan harian mereka, iaitu:
RM2.00 bagi pengguna beras Super Tempatan Gred A
RM4.00 bagi pengguna beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni atau beras wangi
RM6.00 bagi pengguna beras basmathi, beras Jepun atau beras merah
Sebagai contoh, berdasarkan anggaran 100 hari puasa yang ditinggalkan, pilihan pengiraan fidyah adalah seperti berikut:
i. Kaedah berganda
Jumlah fidyah dikira berdasarkan bilangan hari yang ditinggalkan, bilangan tahun tertunggak dan kadar fidyah:
Tahun 2013: 10 × 10 × RM2.00 = RM200.00
Tahun 2014: 10 × 9 × RM2.00 = RM180.00
Tahun 2015: 10 × 8 × RM2.00 = RM160.00
Tahun 2016: 10 × 7 × RM2.00 = RM140.00
Tahun 2017: 10 × 6 × RM2.00 = RM120.00
Tahun 2018: 10 × 5 × RM2.00 = RM100.00
Tahun 2019: 10 × 4 × RM2.00 = RM80.00
Tahun 2020: 10 × 3 × RM2.00 = RM60.00
Tahun 2021: 10 × 2 × RM2.00 = RM40.00
Tahun 2022: 10 × 1 × RM2.00 = RM20.00
Jumlah keseluruhan fidyah yang perlu dibayar selepas Ramadan 2023 ialah RM1,100.00.
ii. Kaedah tidak berganda
Fidyah dikira berdasarkan jumlah hari puasa yang ditinggalkan sahaja:
100 hari × RM2.00 = RM200.00
Para fuqaha bersepakat bahawa kewajipan membayar fidyah bermula sebaik sahaja sesuatu ibadah tidak dapat dilaksanakan. Walaupun tempoh pembayarannya bersifat muwassa’ (luas) dan tidak terikat dengan waktu tertentu, namun adalah sangat digalakkan agar ia disegerakan kerana dibimbangi tidak dapat ditunaikan jika ditangguhkan.
Sekiranya individu yang wajib membayar fidyah tidak sempat melaksanakannya, maka tanggungjawab tersebut berpindah kepada waris atau walinya. Bagi fidyah puasa yang dilewatkan sehingga melepasi Ramadan berikutnya, kadar fidyah tersebut menjadi berganda menurut pandangan dalam Mazhab Syafii.
Sekiranya arwah jenis yang berpuasa penuh dan amanah dalam menjalankan ibadat puasa selama hidupnya, tidak perlu dikira fidyah sejak baligh. Sekiranya ingin membuat kiraan juga, pewaris hanya perlu membuat anggaran hari dan anggaran tahun didarab dengan kadar fidyah.
Boleh, cuma kena pastikan penerima memang miskin, kerana fidyah kena bagi kepada orang miskin.
Sekiranya seseorang mengalami kemalangan sehingga berada dalam keadaan koma selama 20 tahun dan hanya sedar pada hari ini, maka sepanjang tempoh koma tersebut hanya diwajibkan fidyah tanpa perlu menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan. Hal ini kerana koma berkait dengan keadaan kesihatan yang tidak dijangka serta mendatangkan kesukaran kepada dirinya. Namun, jika tempoh koma tersebut hanya berlangsung selama beberapa hari sahaja, maka dia tetap diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan.
Sekiranya wanita yang sedang hamil atau menyusukan bayi tidak berpuasa kerana bimbang akan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya diwajibkan menggantikan (qada) puasa tanpa perlu membayar fidyah, selagi qada tersebut diselesaikan sebelum masuk Ramadan berikutnya. Namun, jika dia melalaikan qada sehingga tiba Ramadan seterusnya, maka dia wajib membayar fidyah.
Sebaliknya, jika wanita hamil atau menyusukan anak tidak berpuasa kerana bimbang terhadap keselamatan anaknya, maka dia diwajibkan mengqada puasa serta membayar fidyah sekali gus. Hal ini kerana puasa ditinggalkan demi menjaga kepentingan orang lain, bukan kerana keperluan dirinya sendiri.
Sekiranya seseorang meninggal dunia dalam keadaan masih mempunyai tunggakan fidyah, maka waris wajib melunaskannya dengan menggunakan harta peninggalan si mati. Jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta, waris dibolehkan menggunakan harta mereka sendiri bagi membantu menjelaskan bayaran fidyah tersebut.
Hukumnya berdosa kerana fidyah yang tidak ditunaikan di dunia akan menjadi hutang di sisi Allah SWT, dan hutang tersebut akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Sumber : ecentral.my
COMMENTS