$type=carousel$sn=0$cols=4$va=0$count=8

Solat Sunat Witir – Niat & Panduan Ringkas JAKIM

SHARE:

Solat Sunat Witir – Niat & Panduan Ringkas JAKIM Solat sunat witir bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, malah hendaklah di...

Solat Sunat Witir – Niat & Panduan Ringkas JAKIM

Solat sunat witir bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, malah hendaklah dilaksanakan pada setiap malam kerana hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang amat digalakkan di dalam Islam.

Waktu mengerjakan sembahyang sunat witir ialah sepanjang malam, iaitu selepas menunaikan sembahyang fardu Isyak sehinggalah menjelang sebelum masuk waktu sembahyang fardu Subuh.

Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan sembahyang sunat Witir selepas sembahyang sunat Tarawih sebanyak 3 rakaat.

Apa itu Solat Witir

Solat witir ialah solat sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam dan merupakan salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Solat ini telah disebut dalam hadis sebagai bukti bahawa ia benar-benar diamalkan oleh Baginda SAW. Oleh itu, solat ini mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kehidupan seorang Muslim.

Perkataan witir berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud “ganjil”. Ini kerana solat witir dilaksanakan dengan bilangan rakaat yang ganjil seperti satu, tiga, lima, tujuh, sembilan atau sebelas rakaat. Kebiasaannya, solat sunat ini dilaksanakan sebanyak tiga rakaat, terutamanya dalam amalan masyarakat kita.

Sebagaimana yang kita tahu, solat sunat witir dijadikan sebagai solat penutup. Solat penutup ini merujuk kepada penutup segala amalan solat sunat yang kita lakukan pada waktu malam.

Witir bertindak sebagai penutup kepada solat-solat sunat malam, khususnya selepas solat sunat tahajjud atau qiamullail, ataupun sebagai solat terakhir sebelum tidur. Justeru, ia melengkapkan ibadah seorang Muslim sebelum mengakhiri harinya.

Ia sering dilakukan pada bulan Ramadan, iaitu dilaksanakan sejurus selepas selesai solat sunat terawih secara berjemaah di masjid. Namun begitu, solat ini juga boleh dilakukan pada malam-malam biasa, sama ada sebelum tidur atau selepas bangun menunaikan solat tahajjud pada tengah malam.

kelebihan solat sunat witir

Hukum Pelaksanaan

Solat ini tergolong sebagai sunat muakkad, iaitu solat sunat yang sangat dituntut pelaksanaannya kerana Rasulullah SAW sentiasa mengerjakannya dan tidak pernah meninggalkannya sama ada ketika bermukim mahupun bermusafir.

Menurut mazhab Syafie, ia amat digalakkan untuk dijadikan sebagai solat terakhir bagi menutup semua solat sunat yang lain.

Bacaan Lafaz Niat

Lafaz Niat Witir 2 Rakaat :

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى



Usolli Sunnatal Witrin rakaatan Lillahi Ta’ala

“Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala.”


Lafaz Niat Witir 1 Rakaat :

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Witrin rakaatani Lillahi Ta’ala

“Sahaja aku sembahyang sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.”

Panduan Sembahyang Sunat Witir

Sunat Witir ini ditunaikan sepertimana solat sunat lain, namun dengan bilangan rakaat ganjil.

Secara ringkasnya, berikut adalah cara sembahyang sunat witir 3 rakaat yang mudah:

Kaifiat Sembahyang Sunat Witir Dua Rakaat Pertama

Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam. (2 rakaat + 1 rakaat)

Bilangan rakaat Solat Witir adalah dalam bilangan ganjil iaitu satu salam bagi setiap dua rakaat, dan ditambah satu rakaat dihujungnya dengan satu salam.

Boleh dibacakan apa-apa surah selepas surah al-Fatihah, namun afdalnya boleh dibaca surah berikut:

  • Rakaat pertama – surah Al-A’la
  • Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
niat solat witir

Kaifiat Sembahyang Sunat Witir Satu Rakaat Akhir

Selepas selesai melaksanakan dua rakaat pertama dengan satu salam, hendaklah ditambah satu rakaat dihujungnya dengan satu salam.

  • Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas

NOTA:

  • Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir. Lafaznya sama dengan lafaz qunut sembahyang Subuh.

Panduan Sembahyang Sunat Tarawih & Witir

Doa, Selawat & Wirid Antara Solat

Acara selawat dan bacaan tertentu ketika memulakan atau di antara solat tarawih tidaklah dimestikan jika kita tidak menghafalnya.

Namun, tidak salah juga jika kita ingin mengamalkannya kerana tujuannya adalah untuk menambahkan lagi ibadat pada bulan yang mulia ini.

solat sunat witir

Doa Solat Witir

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu,dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu,

dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu.

Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai.

solat sunat witir
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Soal Jawab Agama

1. Apakah waku afdhal sembahyang sunat witir?

Waktu pelaksanaan solat witir bermula selepas menunaikan solat fardhu Isyak dan berterusan sehingga terbit fajar, iaitu masuknya waktu Subuh. Hal ini tidak bergantung sama ada seseorang itu telah melakukan solat sunat selepas Isyak ataupun belum, dan sama ada dia ingin menunaikan witir satu rakaat atau lebih.

Selain itu, waktu yang paling utama (afdhal) untuk mengerjakan solat witir juga berbeza mengikut keadaan seseorang. Bagi mereka yang berhasrat untuk bangun menunaikan solat tahajjud, maka waktu yang paling afdhal untuk berwitir adalah selepas selesai tahajjud, iaitu sebagai penutup solat malamnya.

Namun, bagi sesiapa yang bimbang tidak dapat bangun pada waktu malam, maka waktu yang lebih afdhal baginya ialah menunaikan solat witir selepas solat fardhu Isyak dan solat-solat sunat pada awal malam. (Zulkifli Al Bakri #7253)


2. Bolehkah solat witir dilakukan satu rakaat dahulu kemudian baru dua rakaat?

Pelaksanaannya adalah dengan mendahulukan satu rakaat kemudian diikuti dua rakaat adalah tidak bertepatan dengan sunnah. Hal ini kerana apabila seseorang berniat untuk menunaikan solat witir, maka solat tersebut sepatutnya diakhiri dengan bilangan rakaat yang ganjil (witir), bukannya ditutup dengan syafa’ iaitu dua rakaat.

Mengakhiri solat witir dengan dua rakaat jelas bercanggah dengan maksud dan tujuan sebenar witir itu sendiri. (Al-Kafi #1729)

3. Apakah hukum solat witir secara berjemaah di bulan Ramadhan?

Sebagaimana solat tarawih disunatkan berjemaah, solat witir turut dituntut agar dilaksanakan secara berjemaah bersama dengan imam di bulan Ramadhan.

Berbeza dengan bulan-bulan lain, solat witir adalah lebih afdhal dikerjakan secara sendirian. (Jabatan Mufti Negeri Selangor)

4. Apakah bacaan di dalam solat witir?

Antara bacaan di dalam sembahyang sunat witir berdasarkan hadith Nabi SAW adalah

– membaca surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas di dalam solat witir
– membaca surah al-Ikhlas, al-‘Alaq dan juga al-Nas pada rakaat terakhir solat sunat witir

Antara perkara yang sunat dilakukan selepas solat sunat witir adalah mengucapkan “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ” sebanyak tiga kali. Ini kerana ia dilakukan oleh Rasulullah SAW dan terdapat penambahan di dalam satu riwayat bahawa Nabi SAW meninggikan suaranya pada kali yang ketiga. 

(Irsyad Al-Hadith Siri Ke-199)

5. Apakah hukum melakukan solat witir sebanyak dua kali pada satu malam?

Umat Islam sangat dianjurkan untuk menunaikan solat sunat witir. Pelaksanaannya boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing, sama ada satu rakaat, tiga rakaat atau lebih dengan bilangan ganjil. Namun demikian, terdapat larangan untuk melakukan dua witir dalam satu malam berdasarkan hadis yang telah disebutkan.

Walau bagaimanapun, diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat Nabi SAW pernah mengulangi witir kali kedua dengan cara menggenapkan witir pertama dengan menambah satu rakaat (menjadikannya genap), kemudian mereka menunaikan solat tahajud, dan akhirnya berwitir semula sebagai penutup solat malam mereka.

Sehubungan itu, seseorang boleh memilih sama ada ingin menunaikan solat witir sekali sahaja pada awal malam atau mengerjakannya semula ketika qiamullail, dengan berpandukan amalan sebahagian sahabat Nabi SAW tersebut. (Irsyad Hukum Edisi Khas Ramadan Siri Ke-248)

6. Apakah tatacara solat witir yang afdhal?

Solat yang dilaksanakan tiga rakaat dengan dua salam adalah lebih afdhal berbanding tiga rakaat dengan satu salam. Hal ini kerana terdapat pertambahan niat, takbiratul ihram dan juga salam, yang menunjukkan lebih banyak perbuatan ibadah dalam pelaksanaannya. (Al-Kafi #1393)

7. Adakah dibolehkan untuk melakukan solat sunat lain selepas solat witir?

Tiada masalah bagi mereka yang ingin melakukan solat sunat selepas melakukan solat witir bahkan yang terbaik adalah kekal bersama imam sehingga selesai solat bagi mendapatkan pahala menghidupkan keseluruhan malam. (Irsyad Hukum Khas Ramadhan #86)

8. Bolehkah lakukan solat sunat witir satu rakaat sahaja?

Bilangan paling minimum bagi solat witir ialah satu rakaat, namun hukumnya makruh jika dilakukan hanya satu rakaat sahaja tanpa didahului rakaat lain. Sekurang-kurang bentuk yang lebih sempurna ialah tiga rakaat, iaitu dua rakaat dilakukan terlebih dahulu dan diikuti satu rakaat secara berasingan.

Manakala cara yang paling sempurna ialah melaksanakannya sebanyak sebelas rakaat, dengan memberi salam pada setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat sebagai penutup (witir). (Al-Kafi #1131)

9. Apakah hukum menyambung solat witir?

Haram hukumnya berniat untuk menunaikan dua solat witir dalam satu malam bagi sesiapa yang mengetahui tentang larangan tersebut. Perkara ini merupakan kesepakatan dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i.

Adapun bagi seseorang yang tidak berniat melakukan dua witir dalam satu malam, sebaliknya hanya berniat untuk menyambung witir yang telah ditunaikan pada awal malam hingga ke penghujung malam, maka timbul perbezaan pandangan antara Imam Ibn Hajar dan Imam al-Ramli.

Menurut Imam al-Ramli, perbuatan tersebut tidak sah sebagai witir, dan rakaat yang ditambah selepas itu hanya dikira sebagai solat sunat mutlak. Namun menurut Imam Ibn Hajar, ia sah sebagai solat witir dan diharuskan pelaksanaannya. (Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil)

10. Apakah had masa solat Witir?

Waktu witir tamat masuknya fajar; selepas masuk Subuh, tidak boleh lagi menunaikan Witir sebagai solat sunat malam biasa.


Sumber : ecentral.my

COMMENTS

Loaded All Posts Not found any posts VIEW ALL Read more Reply Cancel reply Delete By Home PAGES POSTS View All RECOMMENDED FOR YOU LABEL ARCHIVE SEARCH ALL POSTS Not found any post match with your request Back Home Sunday Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat January February March April May June July August September October November December Jan Feb Mar Apr May Jun Jul Aug Sep Oct Nov Dec just now 1 minute ago $$1$$ minutes ago 1 hour ago $$1$$ hours ago Yesterday $$1$$ days ago $$1$$ weeks ago more than 5 weeks ago Followers Follow THIS PREMIUM CONTENT IS LOCKED STEP 1: Share to a social network STEP 2: Click the link on your social network Copy All Code Select All Code All codes were copied to your clipboard Can not copy the codes / texts, please press [CTRL]+[C] (or CMD+C with Mac) to copy Table of Content